Hadijah Buka Dua Cawangan Dan Miliki Produk Jenama Sendiri
Minat Hadijah Mohamad Bujang pada bidang kecantikan bukan setakat minat. Bermula dengan rawatan muka, andaman dan menjual produk Citra Ayu, kini beliau sudah melebarkan sayap perniagaan syarikat Pusat Andaman dan Kecantikan Zurainas Sdn Bhd ke beberapa produk lain yang berkaitan.
“Saya bermula dengan hanya modal RM20 000 bersama dua orang pekerja. Melalui seorang kawan, beliau mencadangkan saya ke pejabat TEKUN Nasional kawasan Kuching, Sarawak. Alhamdullilah pinjaman pertama sebanyak RM5000 berjaya membantu saya membeli tambahan produk,” katanya.
Kini, Hadijah mempunyai 11 pekerja dan menjual pelbagai produk kecantikan luaran dan dalaman termasuklah koleksi pakaian pengantin. Beliau mengakui pinjaman TEKUN telah banyak membantu memudahkan usahanya melebarkan perniagaan. Menurut ibu kepada lima anak ini, sehingga kini beliau telah lima kali membuat pinjaman TEKUN dengan jumlah pinjaman bernilai RM75 000.
“Saya membuat pinjaman TEKUN kerana yakin perniagaan saya boleh bertambah maju. Dari satu lot kedai, hari ini saya sudah menyewa tiga lot kedai untuk kegunaan salun dan akademi. Saya juga sudah mempunyai produk jenama sendiri D’Zurainas Beauty Cosmetics dan sudah membuka dua cawangan di Kuching dan Sri Aman,” katanya tersenyum.
Bagi Hadijah, usahawan yang berwawasan akan berusaha membayar balik pinjaman seberapa segera untuk mendapat keyakinan pemberi pinjam. Bermula dengan pinjaman TEKUN RM5000, Hadijah memastikan pinjaman itu dilangsaikan terlebih dahulu sebelum membuat pinjaman seterusnya iaitu RM10 000. Begitulah formula yang digunakan oleh Hadijah sehinggalah berjaya meminjam buat kali kelima yang bernilai RM30 000.
“Saya suka bidang kecantikan ini dan mahu ia menjadi kerjaya saya sekeluarga. Terima kasih kepada pihak TEKUN Nasional kerana memberi peluang kepada saya untuk terus menjana pendapatan. Harapan saya agar Pusat Andaman dan Kecantikan Zurainas Sdn Bhd akan terus membesar dengan pusat spa tradisional, salun kecantikan dan mempelbagaikan lagi rangkaian produk D’Zurainas,” katanya bersungguh-sungguh.