Perusahaan Kraf Tangan Kayu oleh Zarina Awang Samah
Terdapat sebuah perusahaan ukiran berasaskan kayu yang terkenal di Kampung Bangau Tanjung. Inakraf Woodcraft Industry terletak di Lot 511, Bangau Tanjung boleh ditemui kira-kira 10 hingga ke 15 minit perjalanan dari Bandar Temerloh. Inakraf Woodcraft Industry adalah hasil usaha sama dan titik peluh pasangan suami isteri, Muhaimin Hasbollah dan Zarina Awang Samah yang telah diusahakan sejak 1992. Pasangan yang dikurniakan dengan bakat semula jadi telah meneruskan seni ukiran yang semakin pupus di samping mendapat latihan menerusi Perbadanan Kraf Tangan Malaysia. Pembiayaan daripada TEKUN telah dapat memajukan perniagaan ini dan membantu syarikat berkembang dengan berkesan.
Antara jenis kayu yang digunakan ialah Cengal, Meranti, Jelutong dan juga Nyatuh. Pemilihan kayu bergantung kepada tempahan dan permintaan pelanggan. Antara ukiran yang pernah dihasilkan oleh Inakraf Woodcraft Industry ialah ukiran hiasan Dewan Parlimen dan Istana Alam Shah. Inakraf Woodcraft Industry turut mendapat tempahan dari luar negara seperti ukiran hiasan untuk sebuah restoran Melayu di Tokyo dan Jepun. Beliau kini dibantu oleh enam orang pekerja yang turut mahir dalam bidang ukiran. Kadangkala pelajar praktikal dari Perbadanan Kraf Tangan Malaysia turut menjalani latihan di sini.
Hasil sesuatu tempahan, boleh menjangkau sehingga RM200,000 bergantung pada kriteria tertentu. Setakat ini, permintaan daripada pelanggan tidak putus-putus dan beliau bersama pekerja-pekerja tidak pernah menang tangan. Hasil daripada kejayaan ini, beliau telah dianugerahkan sebagai Usahawan TEKUN Cemerlang 2008. Beliau turut mendapat bantuan peralatan mesin daripada Kementerian Luar Bandar dan Wilayah.